17 OGOS: Sebanyak 43 lagi kes Variant of Concern (VOC) termasuk empat kes varian Delta dikesan melalui survelan genomik yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) ke atas sampel COVID-19 mulai 10 Ogos hingga semalam.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang dijangkiti sebagai VOC dan Variant of Interest (VOI) adalah sebanyak 710 kes.
“Daripada jumlah yang dikesan tersebut, 690 kes adalah VOC manakala 20 kes adalah VOI. Secara keseluruhan, sehingga kini, bagi VOC terdapat sebanyak 467 kes varian Delta, 209 kes varian Beta dan 14 kes varian Alpha.
“Manakala bagi VOI terdapat 13 kes varian Theta, empat empat kes varian Kappa, dan tiga kes varian Eta,” katanya menerusi kenyataan media perkembangan harian COVID-19, hari ini.
Bagi perkembangan harian kes COVID-19, Noor Hisham memaklumkan kes kematian COVID-19 hari ini kembali meningkat kepada 293 kes berbanding semalam iaitu 274, menjadikan jumlah kes kematian meningkat kepada 13,077 kes.
Beliau berkata, kes kematian hari ini membabitkan 251 warganegara manakala 42 lagi merupakan warga asing.
“Sebanyak 293 kes kematian pada hari ini melibatkan 90 kes di Selangor, 47 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, 42 kes di Johor, 21 kes di Pahang, dan masing-masing 19 kes di Melaka dan Perak, serta 15 kes di Sabah.
“Selain itu masing-masing sembilan kes di Negeri Sembilan dan Kedah, lapan kes di Pulau Pinang, tujuh kes di Kelantan, lima kes di Terengganu, serta dua kes di Sarawak,” katanya.
Dalam pada itu, Noor Hisham memaklumkan kes baharu hari ini mencatatkan penurunan kepada 19,631 dan daripada jumlah itu, 19,624 kes daripada adalah kes tempatan manakala tujuh lagi merupakan kes import.
Beliau berkata, jumlah kes yang berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) pula ketika ini adalah seramai 1,054 orang termasuk dan 525 yang memerlukan bantuan pernafasan menjadikan kumulatif kes aktif sebanyak 252,147 kes.
“Daripada 19,631 kes harian yang dilaporkan pada hari ini, sebanyak 305 kes (1.6 peratus) adalah daripada kategori 3, 4 dan 5. Manakala sebanyak 19,326 kes (98.4 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2.
“Ini adalah berdasarkan keadaan klinikal kes semasa baharu didiagnosa COVID-19. Ada di antara kes kekal di kategori yang sama namun ada juga yang berubah status kesihatan kes sama ada bertambah baik ke kategori lebih rendah atau merosot ke kategori lebih tinggi.
“Secara keseluruhan, 16,638 kes (84.75 peratus) daripada jumlah kes yang dilaporkan pada hari ini tiada atau tidak lengkap vaksinasi,” katanya.
Sementara itu, Noor Hisham berkata, sebanyak 39 kluster baharu dilaporkan hari ini dan daripada jumlah itu, 23 adalah kluster berkaitan tempat kerja, 13 kluster komuniti, dua kluster pusat tahanan serta satu merupakan kluster bagi kumpulan berisiko tinggi.
“Jumlah keseluruhan kluster kini berjumlah 4,257 dan sebanyak 2,897 kluster telah ditamatkan di samping hanya 1,360 kluster yang masih aktif, “katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH