17 OGOS: Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) sedang berunding dengan parti politik lain dalam memberikan sokongan kepada calon Perdana Menteri baharu yang bakal dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, esok.
Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata Pejuang akan memastikan calon Perdana Menteri baharu berkenaan mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat.
“Kami sedang berbincang dengan pihak lain, kita akan cuba mendapatkan seorang calon yang mempunyai majoriti…jadi hasil perbincangan itu belum dimuktamadkan dan saya rasa esok kita akan tahu.
“Saya harap majoriti yang hendak dicapai itu menjadi kenyataan,” katanya dalam sesi temu bual bersama sebuah stesen televisyen swasta di Kuala Lumpur, sebentar tadi.
Mengulas lanjut, Mukhriz juga menjelaskan Pejuang tidak akan memberikan sokongan kepada kumpulan kleptokrat untuk membentuk kerajaan atau memilih calon Perdana Menteri.
Ahli Parlimen Jerlun merangkap bekas Menteri Besar Kedah itu berkata Pejuang akan kekal dengan prinsip parti untuk memerangi rasuah.
“Kami dari awal lagi kekal berprinsip dalam soal memerangi rasuah, jadi dalam hal itu kami akan bermasalah jika majoriti yang kami sokong itu mengandungi apa yang kami katakan kluster mahkamah. Itu pun salah satu faktor selain yang saya sebutkan tadi, itu prinsip kami,” katanya.