17 OGOS : Semua Ahli Parlimen perlu menghantar surat akaun menyatakan dengan terang dan jelas seorang Ahli Dewan Rakyat yang diberikan kepercayaan untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia Yang Ke-9.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, ini perlu dalam melaksanakan budi bicara Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan perlu melantik seorang Ahli Dewan Rakyat yang di dalam hemat Seri Paduka Baginda mungkin mempunyai kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri.
Beliau menegaskan walaupun surat akuan tersebut tidak mempunyai format yang tertentu, namun ianya perlu mempunyai butiran-butiran yang perlu dipatuhi oleh semua Ahli Parlimen.
“Butiran yang perlu dipatuhi adalah identifikasi Yang Berhormat (Ahli Parlimen) yang secukupnya; identifikasi yang secukupnya seorang sahaja Ahli Dewan Rakyat (menjadi Perdana Menteri) yang diberikan kepercayaan oleh Yang Berhormat dan penyataan kepercayaan yang terang, jelas dan tanpa syarat.
“Selain itu, perlu mempunyai tandatangan Yang Berhormat dan juga tandatangan serta cop rasmi saksi, sama ada seorang Peguambela dan Peguamcara, Pesuruhjaya Sumpah, Notari Awam atau jawatan yang setanding bagi Yang Berhormat yang berada di luar negara; dan terakhir tarikh surat akuan, “katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, Azhar memaklumkan surat akuan Ahli Parlimen hendaklah diserahkan kepada pihak Istana Negara selewat-lewatnya sebelum jam 4 petang esok untuk perhatian Setiausaha Sulit Kanan Seri Paduka Baginda, Datuk Nazim Mohd Alim.
“Surat akaun itu boleh di faks di talian 03 6205 2277 atau boleh e-mel menerusi SUSKYDPA@istananegara.gov.my (atau) nazim@istananegara.gov.my. Salinan pdf melalui aplikasi Whatsapp boleh dilakukan di nombor 019-240 4152 dan 013-936 0626.
“Serahan tangan adalah tidak dibemarkan memandangkan Istana Negara masih berada di dalam kawasan Fasa 1 dan juga untuk mengelakkan penularan Pandemik COVID-19 di Istana Negara,” katanya.
Justeru, Azhar menjelaskan mana-mana surat akuan Ahli Parlimen yang tidak mematuhi perkara-perkara di atas ataupun yang diterima lewat tidak akan diambil kira.
“Ahli-Ahli Yang Berhormat diperingatkan untuk menjaga kerahsiaan Surat Akuan tersebut sehingga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong membuat keputusan mengenai perkara itu di bawah perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH