17 OGOS : PAS akan terus kekal menyatakan sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin meskipun beliau sudah meletak jawatan sebagai Perdana Menteri.
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, menerusi Facebook miliknya berkata partinya komited bersama Muhyiddin dalam waktu senang dan susah terutama dalam memulihkan kembali negara yang dilanda pandemik COVID-19.
“Sebentar tadi (malam tadi) saya menghubungi Tan Sri Muhyiddin Yassin, menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan memberikan kata-kata semangat kepadanya.
“Saya turut mengulangi komitmen untuk terus bersama di waktu senang dan susah, khususnya dalam usaha memulihkan negara dan memperkukuh perpaduan semasa,” katanya.
Terdahulu, Muhyiddin, reda dengan takdir dan ketentuan Allah SWT bahawa beliau dan anggota Kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN) terpaksa meletakkan jawatan berkuatkuasa mulai hari ini kerana sudah kehilangan sokongan majoriti Ahli Parlimen.
Bekas Perdana Menteri itu menegaskan, mereka terpaksa berbuat demikian kerana ada pihak yang lebih rakus untuk merebut kuasa daripada menyelamatkan nyawa dan kehidupan rakyak dan ekonomi negara.