17 OGOS : Semua pemimpin parti politik daripada UMMO, Pejuang dan parti komponen Pakatan Harapan (PH) selesai menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara di sini, hari ini.
Sesi menghadap itu yang berlangsung lebih sejam berakhir selepas pemimpin terbabit dilihat meninggalkan perkarangan Istana Negara pada jam 4 petang.
Terdahulu, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Presiden AMANAH, Mohamad Sabu; Presiden PEJUANG, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man memasuki Istana Negara mulai jam 1.30 tengah hari.
Ketika ini, lebih 50 petugas media pelbagai agensi mula berkumpul di Pintu 2 Istana Negara bermula sejak jam 11 pagi tadi, menanti ketibaan pemimpin parti politik terbabit.
Media semalam melaporkan pemimpin parti politik dijangka menghadap Yang di-Pertuan Agong hari ini, dipercayai berkaitan dengan perbincangan berhubung siapa bakal dilantik sebagai Perdana Menteri kesembilan.
Perbincangan itu susulan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, berkenan menerima peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri dan jawatan seluruh Jemaah Menteri berkuat kuasa serta merta, semalam.
Susulan peletakan jawatan itu, Seri Paduka turut berkenan supaya Muhyiddin menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri sementara sehingga seorang Perdana Menteri baharu dilantik.