Tuan Ibrahim wakili PAS menghadap Agong
17 OGOS: Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengesahkan beliau akan mewakili Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, pada jam 2 petang ini.
Tuan Ibrahim berkata beliau akan membawa amanah Presiden PAS dan parti bagi menyatakan pendirian untuk menghadapi kemelut politik terkini di Malaysia.
“Saya mewakili Presiden PAS akan ke Istana Negara menghadap Yang di-Pertuan Agong pada jam 2 petang, membawa amanah Presiden dan parti bagi mencadangkan pendirian parti menghadapi kemelut politik yang berlaku kini.
“Kepada ahli dan penyokong PAS diminta bertenang dan mendapat maklumat rasmi dari sumber sebenar. Dalam situasi getir antara amalan terbaik ialah zikir,” katanya dalam hantarnya menerusi laman Facebooknya sebentar tadi.
Sementara itu, Presiden Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Datuk Seri Mukhriz Mahathir tiba di Istana Negara sebentar tadi bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Beliau tiba pada jam kira-kira 1.50 tengah hari, diikuti Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selang lima minit kemudian.
Beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) turut hadir antaranya Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu juga dilihat memasuki Istana Negara tepat jam 2 petang.
Turut dilihat hadir ke Istana Negara adalah Presiden PKR yang juga Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan menaiki kereta Lexus hitam.
Difahamkan Yang di Pertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun dan Yang di Pertua Dewan Negara Tan Sri Rais Yatim turut dipanggil ke Istana Negara esok.
Terdahulu, portal PNBBC melapor Yang di-Pertuan Agong dijangka memanggil semua ketua parti bagi mengenal pasti Ahli Parlimen mana mempunyai sokongan majoriti untuk dilantik sebagai Perdana Menteri baharu susulan perletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kejatuhan kerajaan Perikatan Nasional (PN) hari ini.