18 OGOS: Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, akhirnya membuka mulut sebab kenapa UMNO memilih Naib Presidennya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bukannya Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai calon Perdana Menteri tunggal Perdana Menteri daripada Barisan Nasional (BN).
Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata pemilihan Ahli Parlimen Bera itu, sebagai calon tunggal Perdana Menteri dari BN dan UMNO diputuskan selepas Ahmad Zahid yang juga pengerusi BN, menarik pencalonannya.
Beliau berkata nama Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan juga dibincangkan, namun beliau tidak memenuhi kriteria pencalonan iaitu sebagai seorang Ahli Dewan Rakyat.
Katanya, penarikan pencalonan Ahmad Zahid turut dimaklum sendiri oleh Ahli Parlimen Bagan Datuk itu di beberapa mesyuarat termasuk yang diadakan malam tadi.
“Presiden menarik diri daripada dicalonkan. Dalam mesyuarat MKT (Majlis Kerja Tertinggi) malam tadi, dalam mesyuarat bersama Ahli Parlimen, dia ada sebut dan mesyuarat biro politik dia maklum juga menarik diri daripada dicalonkan.
“Orang nombor dua iaitu Tok Mat (Mohamad), tapi tidak memenuhi kriteria sebagai calon sebab dia ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri). Jadi kita pergi yang nombor tigalah iaitu Ismail Sabri. Sebab dia ada pengalaman sebagai menteri kanan yang mengurus COVID-19, ada pengalaman jadi ketua pembangkang serta pengalaman jadi Timbalan Perdana Menteri,” katanya.
Ahmad berkata demikian ketika ditemui media di Lobi Menara Dato’ Onn hari ini selepas selesai mesyuarat bersama pemimpin PAS, antara lain bagi mengurus hal surat akuan pencalonan Perdana Menteri untuk dihantar ke Istana Negara sebelum jam 4 petang ini.
Yang turut hadir dalam mesyuarat mewakili BN dan UMNO itu adalah Mohamad; Penasihat BN, Datuk Seri Najib Razak; Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Ketua Pemuda BN, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki serta Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said.
Dalam pada itu, Ahmad juga mengesahkan kesemua 42 akuan bersumpah (SD) Ahli Parlimen BN menamakan Ismail Sabri sebagai calon tunggal Perdana Menteri.
“Fokus pembentukan kerajaan selepas ini jika diberi perkenan oleh Yang di-Pertuan Agong akan memfokuskan kepada permuafakatan politik serta mencari penyelesaian terhadap masalah yang mendepani negara ketika ini,” katanya