18 OGOS: Dua ahli Parlimen PH iaitu Datuk Mohd Azis Jamman (Warisan-Sepanggar) dan Datuk Mahfuz Omar (PAN-Pokok Sena) dikatakan melanggar syarat kerahsiaan penghantaran akuan bersumpah (SD) kepada Yang di-Pertuan Agong selepas mendedahkan dokumen berkenaan di media sosial.
Difahamkan, tindakan bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri dan bekas Timbalan Menteri Sumber Manusia di zaman PH menjadi kerajaan berkenaan jelas melanggar titah Yang di-Pertuan Agong seperti dalam notis dikeluarkan oleh Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun, semalam.
Perkara itu didedahkan oleh Pengarah Operasi Pilihan Raya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Johor, Badrul Hisham Shaharin dalam satu hantarannya di laman Facebook sebentar tadi.
Badrul Hisham atau lebih dikenali sebagai Chegu Bard mendedahkan perkara itu mungkin menyebabkan sokongan terhadap ‘bos lamanya’ iaitu Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim hilang sekurang-kurangnya satu undi.
“Dalam perkembangan berasingan jika ada laporan dan istana ambil maklum sekurang kurangnya satu undi untuk Anwar Ibrahim akan terbatal kerana jelas salah seorang Ahli Dewan Rakyat dari WARISAN telah dengan sedar dan sengaja melanggar titah perkara 7 dan 8 dalam warkah Istana.
“Iaitu menjaga kerahsiaan surat akuan atau undian surat akuan tersebut tidak diambil kira.
Ini masalah kalau bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri cap ayam, macam FB / instafamous semua benda nak publish,” katanya dalam hantaranya di Facebook sebentar tadi.
Chegu Bard turut berkongsi dua keping gambar yang dimuat naik oleh Mohd Azis dan Mahfuz di laman Facebooknya bagi menyokong pendedahan dibuatnya.