18 OGOS: Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor mengesahkan kejadian banjir kilat dan fenomena kepala air di Gunung Jerai sudah meragut satu nyawa manakala seorang lagi mangsa masih hilang.
Muhammad Sanusi berkata mangsa lelaki yang meninggal dunia itu berusia 60 tahun yang identitinya belum dikenal pasti.
“Kejadian tanah runtuh di Gunung Jerai pula, dua mangsa dijumpai (selamat) dan seorang masih hilang.
“Bagi kejadian rumah runtuh di Chalet Salak Denai, seorang masih hilang dan terdapat mangsa terperangkap di atas bumbung rumah di Kampung Setoi,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata kerajaan negeri membuka Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bagi menempatkan mangsa banjir kilat Yan yang akan dibahagikan kepada tiga kategori membabitkan mangsa yang positif COVID-19, mangsa dikuarantin dan yang biasa.
Katanya, siasatan awal mendapati seramai 14 mangsa yang dipindahkan adalah positif COVID-19, 45 mangsa yang dikuarantin dan 60 mangsa biasa.
“Mangsa banjir dipindahkan ke PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Yan dan Sekolah Kebangsaan (SK) Teroi.
“Mangsa yang positif tempatkan di SK Teroi dan mangsa biasa di SMKA Yan,” katanya.
Muhammad Sanusi berkata, kejadian banjir berpunca dari hujan lebat berterusan di kawasan Gunung Jerai dengan air mengalir laju turun ke kaki gunung dan masuk ke Sungai Kunyit, Sungai Teroi dan Sungai Puteri Mandi.
Katanya, berikutan itu banjir melanda kawasan berhampiran Sungai Perigi, Teroi Bukit, Singkir, Kampung Permatang Keramat, Kampung Lubuk Boi, Pekan Yan Besar, Titi Teras, Kampung Acheh dan Kampung Setoi.