18 OGOS: Pemuda PAS menyeru semua pihak memberikan kerjasama serta kepercayaan penuh kepada perdana menteri baharu yang menerima sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat.
Ketuanya, Senator Ir Khairil Nizam Khirudin berkata, perdana menteri baharu juga perlulah diberikan kebebasan untuk melantik Barisan Jemaah Menteri yang mampu bekerja untuk rakyat.
Menurut beliau, barisan Kabinet baharu perlulah komited dalam menjalankan tanggungjawab dan amanah yang diberikan kelak.
“Sikap ahli politik yang masih ingin memberikan ugutan serta tekanan kepada perdana menteri yang baru ini hanya akan mengulangi episod-episod gelap kemelut politik tanah air yang tidak berkesudahan.
“(Tindakan itu) semestinya secara jelas tidak patuh kepada titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah,” katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya, hari ini.
Dalam pada itu, Khairil Nizam memaklumkan pihaknya menyambut baik titah Seri Paduka Baginda agar semua pemimpin utama parti politik bekerjasama mewujudkan keharmonian dan ketenteraman di negara ini.
Beliau yang juga Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) menegaskan ini perlu agar pemimpin dapat memberi fokus kepada isu kesihatan, ancaman COVID-19, keadaan ekonomi rakyat sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) boleh diadakan.
Sementara itu, beliau menegaskan pihaknya akan tetap berpegang teguh pada prinsip pemuafakatan sesama parti demi kesejahteraan Malaysia.
“Alhamdulillah inilah rahmat dan keistimewaan negara kita Malaysia yang berdaulat,” katanya.