18 OGOS: Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengumumkan lima lokaliti di Sabah dan Johor bakal dikuatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari mulai lusa hingga 2 September depan.
Ketua Pengarahnya, Datuk Rodzi Md Saad, berkata di Sabah PKPD akan dilaksanakan di Kampung Tanjong Pagar, Sipitang; Setinggan Kampung Baru Luyang, Penampang; Kampung Padang Tembak, Keningau serta Kampung Jawa, Tawau.
Rodzi berkata di Johor pula PKPD akan laksanakan di kawasan Ladang Sungai Kahang, Kluang, Johor.
Beliau berkata pelaksanaan PKPD berkenaan dibuat selepas MKN laporan dibentangkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai penilaian risiko dan trend jangkitan COVID-19 di kawasan terbabit hari ini.
“MKN juga mengumumkan penamatan PKPD di 11 lokaliti termasuk tiga ditamatkan hari ini, iaitu lebih awal dari tarikh dijadualkan tamat.
“Antara PKPD berkenaan ialah di Taman Sri Kebakat, Tumpat, Kelantan; Kampung Belum Baru, Hulu Perak, Perak; Kampung Menteri, Kuala Sepetang, Mukim Matang, Daerah Larut, Matang dan Selama, Perak.
“Turut ditamatkan ialah PKPD di dua Kilang Comfort Rubber Glove iaitu di Matang dan Simpang serta Asrama Kilang Comfort Rubber Glove Hujung Matang di Perak; Taman Puteri, Kluang Johor; Kampung Kuala Mengalong, Sipitang, Sabah,” katanya.
Beliau berkata MKN juga turut menamatkan PKPD di dua kawasan di Kunak Sabah iaitu Perumahan Ladang Moslyn dan Kampung Kasnuri; serta dua kawasan di Kota Kinabalu iaitu di Kampung Tanjung Aru Lama dan University Apartment.
Katanya, turut ditamatkan ialah PKPD di Kampung Bukit Merbau, Mukim Bukit Jawa, daerah Pasir Puteh; Kampung Baru Pupoh, Pasir Putih dan Kampung Wek Batu 23, Labok, Machang, semuanya di Kelantan.