18 OGOS : Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah bertitah bahawa Perdana Menteri baharu yang bakal dilantik harus mengemukakan usul undi percaya di Persidangan Dewan Rakyat secepat yang mungkin.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata ini perlu berdasarkan Perkara 40(2)a) dan 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan untuk mengabsahkan beliau mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat dalam hal ini.
“Baginda selanjutnya bertitah bahawa selaku Ketua Utama Negara, Baginda akan cuba sedaya upaya untuk menyempurnakan tanggungjawab seorang Raja Berperlembagaan berteraskan keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan Undang-undang.
“Seri Paduka Baginda akan mempengerusikan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu bagi membincangkan isu-isu semasa yang dijadualkan pada 20 Ogos iaitu Jumaat ini,” katanya menerusi satu kenyataan Istana Negara, hari ini.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong bersama Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah semalam perkenaan menerima menghadap ketua-ketua dan wakil-wakil parti politik utama di Istana Negara, semalam.
Dalam pada itu, Ahmad Fadil memberitahu Seri Paduka Baginda dan Sultan Perak telah menzahirkan pandangan bahawa kemelut politik yang berlarutan tanpa titik noktah ini telah mengganggu-gugat tadbir urus Kerajaan ketika kita masih diancam pandemik COVID-19.
Baginda berdua menegaskan bahawa semua kemelut dan kecelaruan politik ini telah memberi kesan negatif yang mendalam kepada ekonomi negara, di samping demi kemaslahatan dan keselamatan rakyat, mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bukan satu pilihan yang terbaik pada ketika ini.
“Baginda berdua turut menzahirkan pandangan supaya Ahli-ahli Dewan Rakyat dapat bersatu hati berusaha mewujudkan perpaduan dan penyatuan semua parti-parti politik dengan memberi fokus kepada isu-isu semasa dan menjernihkan kembali kekusutan yang telah berlaku dengan kadar yang segera.
“Sebelum mengakhiri sesi menghadap semalam, Seri Paduka Baginda turut mengingatkan ketua-ketua dan wakil parti-parti politik utama, demi mengharmonikan suasana, ahli Dewan Rakyat yang menang seharusnya menghulurkan tangan untuk bekerjasama dengan yang tidak berjaya dan semua pihak sepatutnya bersedia untuk bekerja dalam satu pasukan.
“Dalam erti kata lain, yang menang tidak menang semua manakala yang kalah pula tidak kalah semua. Seri Paduka Baginda juga menzahirkan harapan agar Ahli-ahli Dewan Rakyat yang lain akan turut diatur bagi sesi-sesi menghadap daripada semasa ke semasa, “katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH