18 OGOS : Pemimpin UMNO dan PAS hari ini mengadakan pertemuan bersama di ibu pejabat UMNO di PWTC, Kuala Lumpur hari ini bagi melengkapkan urusan menghantar akuan bersumpah (SD) bagi mencalonkan hanya nama Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke Istana Negara petang ini.
Sumber daripada seorang pegawai UMNO mengesahkan pertemuan tersebut namun tidak memperincikan inti pati pertemuan mereka hari ini.
Pertemuan itu dihadiri oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hasan.
Bagi UMNO pula, Presiden yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, juga hadir.
Difahamkan, sumber memaklumkan SD daripada semua Ahli Parlimen BN dan PAS, dijangka diserahkan wakil parti masing-masing petang ini kepada Istana Negara dan bukannya dibuat secara individu.
Namun sumber tidak dapat mengesahkan waktu surat itu akan dihantar ke Istana namun akan memastikan ia akan diserahkan sebelum jam 4 petang.
UMNO, PAS, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) serta Gabungan Parti Sarawak (GPS) setakat ini sudah sepakat dan bersetuju untuk menamakan Ismail Sabri sebagai calon tunggal Perdana Menteri daripada blok mereka.
Bagaimanapun, berapa jumlah majoriti sebenar diterima bekas Timbalan Perdana Menteri itu belum dapat disahkan.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun dalam notisnya semalam meminta setiap Ahli Parlimen supaya menyerahkan SD bagi mencalonkan nama Perdana Menteri pilihan mereka ke Istana Negara sebelum jam 4 petang ini.
Surat akuan itu perlu dipersembah kepada Yang di-Pertuan Agung bagi membolehkan baginda membuat penilaiannya dalam menentukan siapakah dalam kalangan 220 Ahli Dewan Rakyat ketika ini memperoleh sokongan majoriti sekurang-kurangnya 111 Ahli Parlimen untuk diperkenan sebagai Perdana Menteri ke-9.