19 OGOS: Kerajaan mengumumkan pelbagai kemudahan baharu bagi individu lengkap vaksinasi termasuk dine-in atau makan di kedai atau restoran merangkumi negeri bawah Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa mulai esok.
Berikutan itu Perdana Menteri sementara, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau menyarankan kepada pengusaha premis kedai makan supaya menyediakan lebih banyak ruang tempat makan di bahagian luar premis bagi pengudaraan yang lebih baik.
Beliau berkata tindakan itu perlu kerana risiko penyebaran virus COVID-19 adalah jauh lebih tinggi di dalam premis berbanding di luar.
“Pemilik kedai makan perlu pastikan mereka yang memasuki premis untuk dine-in mesti menunjukkan sijil digital vaksinasi COVID-19 (digital certificate COVID-19 vaccination) yang menunjukkan bahawa individu tersebut telah menerima vaksinasi lengkap.
“Bagi pasangan yang telah menerima vaksinasi lengkap dan ingin membawa anak-anak berusia 17 tahun dan ke bawah untuk dine-in di premis kedai makan, pastikan anak-anak anda mematuhi SOP yang ketat,” katanya dalam satu kenyataan menerusi laman Facebooknya hari ini.
Beliau hari ini mempengerusikan Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi membincang dan mempertimbangkan cadangan oleh Jawatankuasa Khas Teknikal MKN untuk memperluaskan lagi kemudahan sektor sosial dan ekonomi terutamanya bagi Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Ia dihadiri oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Ketua-Ketua Setiausaha dari setiap kementerian, Ketua Pengarah Kesihatan, Ketua Pengarah MKN, Ketua Pengarah Imigresen dan pegawai-pegawai kanan Kerajaan yang berkenaan.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata operasi pasar malam dan pasar minggu juga turut dibenarkan bermula esok.
Selain itu, katanya, aktiviti sukan, rekreasi dan riadah tanpa sentuhan fizikal dan bukan berkumpulan (outdoor) juga dibenarkan bagi negeri Fasa 1 PPN dan seterusnya serta terpakai di dalam daerah yang sama sahaja.
Beliau berkata aktiviti sukan dan rekreasi amat penting bagi memastikan tahap kesihatan minda dan kecergasan fizikal yang baik.
“Oleh itu, aktiviti ini dibenarkan dengan mematuhi penjarakan fizikal dan dilakukan di kawasan terbuka (outdoor) termasuk separa terbuka bermula jam 6 pagi hingga 10 malam,” katanya.
Aktiviti yang dibenarkan adalah seperti joging, senaman, taichi, berbasikal, skateboarding, memancing, ekuestrian, memanah, mendaki, tenis (single), badminton (single), golf, pemotoran dan seumpamanya.
Turut dibenarkan termasuklah perkelahan dan perkhemahan dengan penyertaan anak-anak berusia 17 tahun dan ke bawah adalah dibenarkan dengan pematuhan SOP yang ketat.
Bagaimanapun, Muhyiddin berkata adalah penting untuk dijelaskan bahawa seseorang individu hanya akan diiktiraf sebagai individu yang telah lengkap vaksinasinya apabila telah memenuhi kriteria tertentu.
“Bagi jenis vaksin yang memerlukan dua dos suntikan (contohnya Pfizer, AstraZeneca, dan Sinovac), individu berkenaan mestilah telah melepasi hari ke-14 dari tarikh suntikan dos kedua; dan
“Bagi jenis vaksin yang hanya memerlukan satu dos suntikan (contohnya Johnson & Johnson dan CanSino), individu berkenaan mestilah telah melepasi hari ke-28 dari tarikh suntikan,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI