19 OGOS: Orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi dan provokasi berhubung tindakan Bukit Aman memanggil pendakwah bebas terkenal Ustaz Ebit Lew bagi membantu siasatan kes gangguan seksual.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Abd Jalil Hassan, berkata tindakan itu perlu bagi membolehkan polis menjalankan siasatan secara telus dan adil berhubung kes berkenaan.
“Orang ramai juga dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang penyebaran apa-apa jua bahan yang boleh menjejaskan siasatan polis,” katanya dalam satu kenyataan ringkas hari ini.
Terdahulu, Abd Jalil mengesahkan bahawa polis selesai merakam keterangan percakapan Ebit Lew atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Lew bagi membantu siasatan kes gangguan seksual mengikut Seksyen 59 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini.
Beliau berkata siasatan akan diteruskan sehingga polis berpuas hati untuk merujuk kes kepada Jabatan Peguam Negara bagi nasihat dan arahan lanjut.
Sementara itu, Ebit menyifatkan dakwaan berkenaan adalah suatu fitnah kejam yang sangat melampau terhadap dirinya.
Ebit berkata, kehadirannya ke Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman di sini pagi tadi, adalah sebagai saksi kes yang sedang disiasat polis.
“Saya dipanggil sebagai saksi bagi membantu siasatan terhadap pertuduhan gosip di luar sana. Pihak polis mengambil masa lebih satu jam untuk merakam kenyataan saya. Saya memberikan kerjasama sepenuhnya.
“Bagaimanapun saya serahkan segala-galanya kepada polis untuk menjalankan siasatan lanjut,” katanya kepada media sejurus keluar dari Bukit Aman, pada jam 2 petang tadi.
Dalam pada itu, peguam Ebit Lew, Datuk Hasnal Rezua Merican, berkata setakat ini polis ada menyatakan beberapa seksyen untuk siasatan kes berkenaan, namun belum memberikan seksyen sewajarnya untuk siasatan kes ini.
“Setakat ini polis juga memaklumkan tiada keperluan untuk memanggil semula anak guam saya,” katanya.