19 OGOS : Kumpulan pertama Ahli Parlimen UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) selesai menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, sebentar tadi
Kira-kira sejam memasuki istana, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mula meninggalkan Istana Negara pada pukul 10.45 pagi diikuti kenderaan pensendirian ahli-ahli Parlimen lain.
Bas yang membawa Ahli Parlimen UMNO dan BERSATU pula kelihatan meninggalkan Istana Negara pada pukul 11.50 pagi.
Antara yang kelihatan keluar dari pintu dua Istana Negara ialah Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa, Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias; Ahli Parlimen Jempol, Datuk Salim Sharif; Ahli Parlimen Lipis, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad dan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar
Selain itu, Ahli Parlimen BERSATU yang kelihatan keluar ialah Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Kamaruddin Jaafar.
Terdahulu, Najib yang mengetuai Ahli Parlimen UMNO itu memasuki perkarangan Istana Negara jam 10.35 pagi dengan menaiki bas.
Seterusnya pada sesi 2 petang dijangka seramai 25 ahli Parlimen termasuklah Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (Bagan Datuk), Datuk Seri Rina Mohd Harun (Titiwangsa) dan Datuk Seri Hamzah Zainuddin (Larut) akan mengadap Seri Paduka Baginda.
Manakala selepas itu, pada pukul 3.10 petang pula melibatkan 22 ahli Parlimen manakala pada pukul 4.20 petang pula 18 ahli Parlimen diketuai Datuk Seri Abdul Hadi Awang (Marang).
Difahamkan, sesi menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah itu bertujuan mengesahkan sokongan kepada calon Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.