19 OGOS : Kumpulan terakhir Ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional (BN) tiba di Istana Negara bagi mengesahkan sokongan mereka kepada calon Perdana Menteri baharu.
Mereka yang turut disertai beberapa Ahli Parlimen MCA, MIC, PBS dan PBRS, menaiki sebuah bas persiaran dan beberapa buah kereta memasuki pintu dua Istana Negara pada jam 2.25 petang bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Antara yang kelihatan ialah Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Ahli Parlimen Ayer Hitam merangkap Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.
Beberapa Ahli Parlimen yang selesai menghadap Seri Paduka Baginda pagi tadi memaklumkan, sesi itu berlangsung secara bergilir-gilir dengan setiap daripada mereka mengambil masa kira-kira seminit sahaja.
Mereka perlu memperkenal diri, memaklumkan kawasan Parlimen yang diwakili dan seterusnya menyebut nama calon Perdana Menteri yang disokong.