19 OGOS: Perdana Menteri Caretaker, Tan Sri Muhyiddin Yassin selesai menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini.
Kenderaan yang membawa beliau bersama beberapa kenderaan pengiring lain dilihat keluar dari Pintu 1, Istana Negara jam 3.45 petang.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Pagoh itu tidak menurunkan lagi cermin sisi sebagaimana kebiasaan dan kenderaan yang membawa beliau meluncur pantas.
Terdahulu, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu tiba di Istana Negara jam 2.45 petang.
Beliau yang juga merupakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) memakai suit berwarna hitam dan bersongkok dilihat agak sugul, tidak ceria seperti biasa ketika melambai tangan ke arah media ketika tiba di istana.
Difahamkan, kehadiran beliau ke Istana Negara hari ini adalah untuk mengesahkan kepada Yang di-Pertuan Agong berhubung surat akuan (SD) pencalonan penggantinya.
Terdahulu, kesemua 114 Ahli Parlimen daripada UMNO, PAS, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), STAR, MCA, MIC dan tiga Ahli Parlimen bebas selesai menghadap Yang di-Pertuan Agong sekitar jam 3.30 petang tadi.
Kesemua mereka dilihat memasuki Istana Negara dengan menaiki lima buah bas yang bermula sejak jam 10 pagi tadi manakala GPS menyatakan sokongan kepada Seri Paduka Baginda secara maya di Sarawak, hari ini.