19 OGOS : Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin seorang yang tidak mementingkan diri dan kedudukannya apabila menjadi individu terawal mencadangkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri ke-9.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU , Datuk Dr Abd Latiff Ahmad ketika mendedahkannya berkata, walaupun ahli masih mahukan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri namun Perdana Menteri Caretaker itu tetap mahukan Ismail Sabri sebagai penggantinya.
“Walaupun ada (ahli) yang tidak berapa setuju, tetapi Tan Sri sendiri yakinkan Ahli Parlimen BERSATU agar menyokong Ismail Sabri.
“Ini dibuktikan dengan Muhyiddin individu awal menandatangani akaun bersumpah (SD) bagi menyokong Ismail Sabri,” katanya kepada PNBBC Portal, hari ini.
Dalam pada itu, ditanya berkenaan dakwaan bahawa Setiausaha Agung BERSATU Datuk Seri Hamzah Zainuddin akan dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM), Abd Latiff berkata, dakwaan itu tidak benar serta tidak pernah berbangkit di peringkat partinya.
“Itu hanyalah fitnah untuk mengeruhkan perpaduan yang sedang dijalin oleh semua parti yang menyokong pencalonan (Ahli Parlimen) Bera,” katanya.
Menurut Abd Latiff jawatan Timbalan Perdana Menteri ini adalah model ketika.kerajaan Perikatan, kemudian diteruskan oleh kerajaan Barisan Nasional begitu juga sewaktu pentadbiran Pakatan Harapan.
“Semasa Tan Sri Muhyiddin dilantik Perdana Menteri ke 8, jawatan tersebut dimansuhkan sementara dan diujudkan jawatan 4 menteri kanan.
“Sekiranya mahu diujudkan jawatan TPM, itu terpulang kepada Perdana Menteri baharu kerana jawatan ini tiada dalam perlembagaan,” jelasnya.
Tambah beliau, ujudnya jawatan TPM sebulan lalu yang disandang oleh Ismail Sabri adalah bertujuan menyejukkan suhu politik dalam UMNO.
Dalam pada itu, memetik laporan MalayaPost, Ahli Parlimen Mersing itu ketika ditemu bual menyatakan tindakan Muhyiddin memberi sokongan membuktikan beliau mengutamakan kepentingan ummah dan perpaduan walaupun jatuh disebabkan penarikan sokongan oleh 15 ahli parlimen UMNO terhadap Kerajaan Perikatan Nasional (PN) .
“Tan Sri Muhyiddin seorang pemimpin politik yang sangat realistik. Saya mengenali Tan Sri selama 35 tahun sebagai ahli politik kemudian sebagai sahabat dan beliau tidak pernah mementingkan diri sendiri dengan kedudukannya.
“Tan Sri mengutamakan kepentingan ummah dan organisasi. Saya masih ingat beliau pernah cakap, ” “I am Malay first, but being Malay doesn’t mean I am not Malaysian,” katanya.
Akur dengan permintaan Presiden BERSATU, kesemua 54 ahli parlimen daripada Blok Parti Perikatan Nasional iaitu BERSATU (31), PAS (18), STAR (1) dan BEBAS (4) telah menandatangani SD bagi menyokong Naib Presiden UMNO ini sebagai Perdana Menteri.