19 OGOS : UMNO buat masa ini memberi ahli-ahli Parlimennya kuasa untuk terus bersama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dalam membentuk kerajaan di bawah kepimpinan Datuk Seri Ismail Sabri.
Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Samad berkata perkara itu diserahkan sepenuhnya kepada mereka bagi membuktikan kerajaan di bawah pentadbiran Naib Presiden UMNO itu lebih berkesan.
“Apapun, tahniah kepada kepimpinan parti yang sentiasa menekankan kepada sikap dan pendirian cara bersama atau ‘enbloc’.
“Tahniah kepada Datuk Seri Ismail Sabri kerana dipilih untuk memimpin gabungan BN-PN-GPS dan mereka yang akan diamanahkan tanggungjawab dan tugas,” katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya, hari ini.
Dalam pada itu, Tan Sri Shahrir Samad berkata, UMNO tidak pernah mengecewakan pemimpinnya walau apapun sikap mereka terhadap parti itu.
Menurut beliau, ini boleh dibuktikan apabila Majlis Tertinggi UMNO membuat keputusan untuk menyerahkan pemilihan perdana menteri kepada ahli-ahli Parlimen parti itu dan Barisan Nasional (BN) walaupun ahli-ahli Parlimen sudah berpecah dalam soal memberi sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Perikatan Nasional (PN).
“Ada 15 orang yang bersama MKT UMNO dan menarik balik kepercayaan mereka kepada Kerajaan PN manakala 23 lagi, sama ada mahu menunggu sidang Parlimen September ataupun masih menerima Kerajaan PN kepimpinan Muhyiddin.
”Namun, apabila soalnya ialah pengisian jawatan PM, parti tidak pernah mengecewakan pemimpin mereka walau apa pun sikap pemimpin itu terhadap parti,” katanya