20 OGOS : Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mahukan sebuah pentadbiran politik negara yang lebih kukuh dan stabil yang boleh membantu rakyat menangani permasalahan mereka, demikian menurut Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Beliau berkata, itu adalah reaksi tegas Baginda yang menginginkan Ahli-ahli Parlimen untuk kekal bersama sokongan sedia ada sekurang-kurangnya sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) ketika dalam pertemuan dengan Ahli Parlimen baru-baru ini.
Menurut Ahli Parlimen Kubang Kerian itu, sesi Ahli-ahli Parlimen PAS menghadap Yang di-Pertuan Agong semalam berjalan dengan baik dan sempurna.
“Saya tengok baginda tidak mahu berulang (peristiwa) tarik balik sokongan selepas ini sehingga PRU (Pilihan Raya Umum) akan datang,” katanya.
“Pertemuan itu diadakan Al-Sultan Abdullah untuk memastikan setiap Akuan Bersumpah (SD) yang dihantar oleh Ahli-ahli Parlimen adalah benar-benar di atas kerelaan setiap Ahli Parlimen,” katanya, hari ini.
Semalam, PAS merupakan kumpulan terkahir menghadap Seri Paduka Baginda semalam, keluar dari perkarangan Istana Negara kira-kira jam 4 petang menaiki dua buah bas mengakhiri pertemuan baginda dan 114 ahli-ahli Parlimen menyokong Ismail Sabri.
Ahli Parlimen BN dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sebelum itu menghadap Yang di-Pertuan Agong pada sebelah pagi hingga tengah hari.
Sebanyak lima kumpulan sesi menghadap Ahli Parlimen berlangsung semalam, dengan sesi pertama membabitkan Ahli Parlimen UMNO yang tiba di Istana Negara pada jam 10.30 pagi.
Daripada lima sesi menghadap itu, empat sesi dibuat secara fizikal dengan Ahli Parlimen dengan setiap diberi masa antara satu hingga dua minit secara bergilir-gilir untuk menyembah maklum secara lisan sokongannya kepada calon Perdana Menteri.
Seramai 17 Ahli Parlimen GPS juga telah selesai menghadap Seri Paduka Baginda yang disempurnakan secara maya di Sarawak manakala Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing yang berada di Kuala Lumpur telah menghadap Agong di Istana Negara.
Sesi menghadap itu difahamkan bertujuan untuk mengesahkan SD sokongan kepada Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri Malaysia ke-9