20 OGOS: Ahli keluarga tidak menyangka impian Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk menjadi Perdana Menteri ketika memegang jawatan Ketua Pemuda UMNO Temerloh, kira-kira 20 tahun lalu, kini menjadi realiti.
Perkara itu didedahkan, Zairani Mohamed, 53, yang memaklumkan sepupunya itu pernah menyatakan beliau bercita-cita menjadi Perdana Menteri ketika menjawab soalan bapa saudaranya semasa mereka berkumpul di beranda rumah ibu saudaranya di Kampung Paya Banir di tebing ke Sungai Pahang.
Zairani berkata ahli keluarganya yang mendengar kata-kata Ismail Sabri ketika itu mengaminkannya kerana menganggap ia doa seorang yang mahu membela nasib rakyat.
“Peristiwa ini lebih 20 tahun lalu apabila menggamit memori apabila terkenang semangat dan cita-citanya menjadi Perdana Menteri tercapai.
“Pada ketika itu, beliau Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Temerloh namun sudah telah meletakkan wawasannya untuk Perdana Menteri. Apa yang kami nampak beliau berusaha, bekerja dan berkhidmat bersungguh-sungguh sehingga menjadi ahli Parlimen dan menteri,” katanya seperti yang dilaporkan MalaysiaGazette hari ini.
Selain itu, ibu saudara Ismail Sabri, Embong Abd Rahman, 87, yang selalu mengasuhnya sejak kecil menganggapnya seorang baik dan menghormati orang tua.
“Baik sangat budaknya, saya mengasuh Datuk Seri Ismail ketika dia berusia lima tahun dan dia amat menghormati orang tua dan baik sangat kepada semua penduduk kampung,” katanya.
Sementara itu, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, menyifatkan pelantikan Ahli Parlimen Bera itu sebagai PM-9 suatu kebanggaan kepada rakyat terutama di negeri berkenaan kerana beliau anak jati Pahang.
“Dengan pelantikan ini diharapkan, semua pihak memberi kerjasama agar beliau dapat menjalankan tugas dan peranannya dengan berkesan.
“Lebih-lebih lagi sekarang dalam usaha menangani penularan pandemik COVID-19 yang pada hari ini menempuh rekod baharu dengan lebih 23,000 kes positif,” katanya dalam kenyataan hari ini.