20 OGOS : Seorang penyeludup dadah antarabangsa paling dikehendaki di Itali Raffale Imperiale, 47, di tahan di Dubai semalam selepas enam tahun hidup dalam larian.
Imperiale ditahan pada 4 Ogos lalu oleh pihak berkuasa Dubai dengan kerjasama antara Interpol dan Europol.
Lelaki itu adalah antara anggota kanan kumpulan jenayah terancang di Naples, yang dipercayai melarikan diri ke Dubai pada 2016.
Penahanan Imperiale disifatkan satu kejayaan besar pihak berkuasa memandangkan dia merupakan antara penjenayah terbesar dalam dunia penyeludupan dadah serta pengubahan wang haram antarabangsa.
Imperiale adalah anggota keluarga Amato-Pagana di bawah naungan sindiket jenayah terancang Camorra di Naples.
Bermula dengan pil ecstasy, Imperiale kemudian beralih kepada penyeludupan kokain ke pasaran Belanda dan Eropah dan pada masa sama, dia menguruskan restoran dan syarikat pelaburan bagi mengabui mata pihak berkuasa.
Pada 2016, polis Itali menemui dua lukisan Van Gogh dalam sebuah rumah milik Imperiale di pinggir Naples, yang sebelum ini dilaporkan dicuri dari Muzium Van Gogh di Amsterdam 14 tahun lalu.
Polis semalam memaklumkan, rakan rapat Imperiale, Vincenzo Aprea, seorang ketua Camorra yang kini dipenjara, membeli lukisan berkenaan di pasaran gelap menggunakan hasil keuntungan menyeludup dadah.