20 OGOS: Mahkamah Majistret Sungai Petani, Kedah, mengarahkan seorang bekas Pegawai Tugas-Tugas Khas Ahli Parlimen direman selama tiga hari bermula hari ini sehingga 22 Ogos bagi membantu siasatan berkaitan penyelewengan dana berjumlah RM140,600 pada 2019 dan 2020.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Noor Fazlina Musa ke atas suspek selepas menerima permohonan daripada pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes terbabit.
Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap berkata, suspek berusia 43 tahun ditahan selepas hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Sungai Petani, kira-kira jam 4.30 petang, semalam.
Shaharom, berkata siasatan awal SPRM mendapati suspek dipercayai menggunakan kedudukannya bagi melakukan kegiatan berkenaan sejak Ogos 2019 hingga Januari 2020.
“Suspek yang pernah bertugas sebagai Pegawai Tugas-tugas Khas kepada seorang Ahli Parlimen di negeri ini dikatakan menyeleweng Peruntukan Khas Jabatan Perdana Menteri bagi kawasan Parlimen.
“Suspek dipercayai menggunakan beberapa invois palsu bagi menuntut bayaran bagi kerja di kawasan Parlimen berkaitan bernilai antara RM9,500 hingga RM34,000,” katanya dalam satu kenyataan