20 OGOS : Bantuan wang tunai berjumlah RM500 disalurkan oleh Kerajaan Kedah kepada setiap keluarga terkesan dengan banjir susulan fenomena kepala air di Gunung Jerai, Yan, yang berlaku pada Rabu lalu.
Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor, berkata bantuan tersebut diputuskan selepas kerajaan negeri mengadakan perbincangan bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), malam tadi.
Menurut beliau, bantuan berkenaan adalah bagi meringankan beban dan membantu penduduk dalam kerja penggantian sebahagian peralatan asas rumah dan pembersihan.
“Bagi keluarga yang kehilangan nyawa akibat kejadian itu, kerajaan negeri akan menghulurkan bantuan berjumlah RM5,000 kepada keluarga mangsa.
“Berdasarkan laporan awal, kita dimaklumkan jumlah rumah yang terjejas dalam tragedi ini dianggarkan 800 di Yan dan 200 rumah di Tupah, Kuala Muda.
“Bagi keluarga mangsa yang kehilangan nyawa akibat tragedi ini, kerajaan akan menghulurkan bantuan RM5,000 kepada keluarga mangsa,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Dalam pada itu, Muhammad Sanusi memaklumkan urusan pendaftaran keluarga yang terjejas untuk menerima bantuan ini akan diuruskan oleh Pejabat Daerah Yan dan Pejabat Daerah Kuala Muda.
“Sebagai langkah awal, keluarga terbabit dinasihat membuat laporan polis dan mendaftarkan nama serta maklumat diri di pejabat daerah masing-masing.
“Bagi bantuan membaiki kerosakan bangunan bukan kediaman dan bangunan kerajaan, ia masih dalam perbincangan lanjut,” katanya