20 OGOS : Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berangkat tiba di Istana Negara sebentar tadi bagi menghadiri Perbincangan Khas Majlis Raja-Raja berhubung isu pelantikan Perdana Menteri baharu.
Baginda tiba pada jam 1.57 tengah hari diikuti dengan keberangkatan tiba Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah pada jam 2.14 petang.
Kenderaan rasmi yang membawa Pemangku Sultan Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memasuki pintu 1 Istana Negara pada jam 1.56 petang.
Turut kelihatan kenderaan yang membawa Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah memasuki Istana Negara pada 2.14 petang.
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah tiba pada 2.22 petang dan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin pada 2.24 petang.
Sementara itu, Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, yang juga Timbalan Yang di-Pertuan Agong berangkat tiba pada 2.33 petang dan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir pada 2.36 petang.
Bagaimanapun, tidak kelihatan kenderaan membawa Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar, Sultan Kelantan Sultan Muhammad V dan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.
Tumpuan seluruh negara hari ini terarah kepada Perbincangan Khas Majlis Raja-Raja yang dijadualkan berlangsung pada jam 2.30 petang ini.
Difahamkan ia adalah bagi membincangkan isu bakal calon Perdana Menteri baharu dan kerajaan susulan peletakan jawatan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sendiri akan mempengerusikan perbincangan tersebut seperti mana dimaklumkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan.
Perbincangan itu adalah yang ketiga berlangsung di Istana Negara sejak Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menaiki takhta Yang di-Pertuan Agong pada 31 Januari 2019 dengan yang pertama berlangsung pada 25 Oktober 2020.
Difahamkan, perbincangan itu diadakan selepas Yang di-Pertuan Agong berkenan menerima menghadap 114 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Bebas semalam.
Raja-Raja Melayu juga pernah mengadakan perbincangan khas pada 25 Oktober 2020 dan menolak pengisytiharan darurat kerana merasakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) ketika itu berjaya menangani wabak Covid-19 dengan berkesan.
Pada 16 Jun 2021, sekali lagi perbincangan diadakan mengenai isu kesihatan dan politik negara sebelum membuat ketetapan tiada keperluan untuk meletakkan negara di bawah pemerintahan darurat selepas 1 Ogos 2021
Pada perbincangan khas kali ini pula, ia diadakan susulan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yasin sebagai Perdana Menteri kelapan pada 16 Ogos lalu yang hilang majoriti apabila terdapat ahli Parlimen UMNO yang menarik sokongan terhadapnya.