20 OGOS: Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta) menggesa semua perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berwaspada dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) memandangkan perniagaan mereka kembali beroperasi.
Pengerusi Dasar dan Hubungan Kerajaan, Datuk William Ng berkata Samenta menyambut baik pengumuman oleh Perdana Menteri Sementara, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memberi kelonggaran lagi kepada sektor ekonomi, termasuk pasar malam dan makan di restoran atau rumah kelab.
Bagaimanapun, katanya, PKS mesti mematuhi semua SOP dan melaksanakan sendiri tindakan pencegahan.
“Walaupun individu yang lengkap dua dos vaksin dan bersama keluarga mereka dibenarkan untuk ‘dine-in’, restoran masih boleh memilih bagi menyediakan makanan atau minuman untuk dibawa pulang, atau mengehadkan individu dewasa yang lengkap vaksin sahaja dibenarkan makan di premis mereka,” katanya dalam kenyataan semalam.
Ng berkata, pembukaan PKs adalah kelegaan yang tepat pada masanya untuk perniagaan dan pengguna, selain menjadi petanda baik bahawa ekonomi hampir mencapai titik perubahan ketara.
“Bagaimanapun, ramai ahli kami dalam sektor runcit serta makanan dan minuman masih berwaspada bagi pembukaan kembali perniagaan mereka, terutama berkaitan tanggungjawab terhadap tindakan serta pematuhan oleh pelanggan,” katanya.
Beliau berkata, Samenta menyarankan supaya pembukaan semula semua sektor ekonomi hanya dibenarkan apabila 80 peratus daripada populasi di setiap negeri mencapai keimunan penuh, bukan dilaksanakan mengikut pendekatan pelbagai fasa yang mengelirukan kalangan perniagaan selain agensi penguat kuasa yang telah menanggung terlalu banyak tugasan kerja.