20 OGOS: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menanti arahan seterusnya daripada Jabatan Peguam Negara (AG) berhubung kes individu termasuk bergelar datuk yang didakwa merentas negeri menaiki helikopter ke Ipoh, Perak untuk mengambil nasi ganja bulan lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya telah selesai jalankan siasatan berhubung kes tersebut.
“Mereka yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam siasatan itu kita telah rakam percakapan dan dirujuk kepada Pengarah Pendakwaan Negeri ataupun Timbalan Pendakwa Raya Negeri Perak.
“Saya difahamkan kertas siasatan telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara dan kita masih menunggu arahan selanjutnya.
“Setakat ini belum ada arahan lanjut lagi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Sambutan Bulan Kebangsaan Bersama Warga Polis Diraja Malaysia peringkat negeri Perak, hari ini.
Sebelum ini media melaporkan syarikat swasta yang mengendalikan penerbangan helikopter Bell 505 yang mendarat di Padang Ipoh untuk mengambil pesanan nasi ganja itu mempunyai surat kebenaran rentas negeri dikeluarkan Polis Selangor.
Mior Faridalathrash mengesahkan perkara itu hasil siasatan dan rakaman percakapan tiga individu termasuk seorang bergelar Datuk.
Beliau berkata polis juga akan memanggil pegawai Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) untuk memberi keterangan bagi melengkapkan siasatan.
Difahamakan, siasatan kes berkenaan dijalankan di bawah kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) larangan rentas negeri atau daerah di bawah Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 Akta 342.
Polis sebelum ini mengesahkan bahawa semakan dengan CAAM mendapati helikopter tersebut mendapat kebenaran untuk mendarat di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) Ipoh sahaja dan tidak mendapat kebenaran mendarat di Padang Ipoh.
Pada 23 Julai lalu, helikopter dikendalikan Systematic Aviation Services Sdn Bhd (SAS) itu berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pada jam 9.08 pagi.
Perkara menjadi tular apabila dikesan mendarat di Padang Ipoh pada jam antara 9.55 pagi hingga 10.15 pagi untuk mengambil pesanan 36 bungkus nasi ganja yang ditempah dari sebuah restoran nasi kandar terkemuka di Ipoh.