Syarat PN supaya kesilapan kerajaan dahulu tidak berulang
20 OGOS: Syarat dimaksudkan Perikatan Nasional (PN) kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bukan bertujuan mengikat calon Perdana Menteri sebaliknya sebagai panduan serta asas supaya kesilapan ketika pentadbiran dua kerajaan terdahulu tidak berulang.
Ini kerana kejatuhan kerajaan Barisan Nasional (BN) dikaitkan rakyat dengan amalan rasuah manakala ketika Pakatan Harapan (PH), ada kes-kes mahkamah dilepaskan kerana tidak menghormati prinsip pengasingan kuasa.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad berkata, apa dicadangkan Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah supaya Perdana Menteri baharu dapat menjalankan tugas seperti kehendak rakyat.
Katanya, sewaktu pentadbiran PN, Muhyiddin memastikan mereka yang berintegriti dan tiada kes mahkamah dilantik dalam pentadbiran termasuk jemaah Menteri.
“Malah, Perdana Menteri (Muhyiddin) seperti ditegaskan olehnya bahawa beliau tidak masuk campur dalam kes-kes mahkamah dengan membiarkan berlaku pengasingan antara eksekutif, legislatif dan kehakiman.
“Secara peribadi, saya melihat cadangan Pengerusi PN itu bagi memastikan kerajaan yang bakal dipimpin Perdana Menteri baharu meneruskan amalan tersebut,” katanya kepada PNBBC Portal, hari ini.
AhlI Parlimen Mersing itu mengulas kecaman pihak-pihak tertentu yang tidak puas hati dengan kenyataan Muhyiddin menyatakan sokongan PN terhadap pencalonan Ismail Sabri sebagai bersyarat.
Syarat tersebut adalah mahu bakal jemaah menteri dilantik mestilah yang berintegriti, beramanah dan tiada pertuduhan di mahkamah
Syarat lain yang dicadangkan dan persetujui 50 ahli parlimen PN adalah supaya Ismai; Sabri menghormati prinsip pengasingan kuasa, melindungi kebebasan badan kehakiman dan menjunjung konsep Raja Beperlembagaan.
Menurut Abd Latiff, dengan cadangan syarat-syarat itu tentu lebih mudah Perdana Menteri menjalankan tugas dan mendapatkan kepercayaaan rakyat bagi mengembalikan keluruhan undang-undang di negara ini.
Tambahnya, sokongan ahli-ahli parlimen kepada Ismail Sabri juga selaras dengan keperluan untuk memberi gambaran bahawa mereka memberi kepercayaan kepada Ahli Parlimen Bera itu sebagai ahli Dewan yang mendapat sokongan ramai untuk dipilih sebagai Perdana Menteri.
Justeru katanya, tidak perlu ada pertikaian lain dalam membuat penentuan bagi memilih Perdana Menteri baharu selagi prosesnya mengikut Perlembagaan dan peraturan ditetapkan.
Malah menurut Abd Latiff, ini kali ketiga, Perdana Menteri dari Pahang diberikan mandat dan secara kebetulan Yang di Pertuan Agong yang juga Sultan Pahang berdasarkan perlembagaan diberikan amanah menentukan Perdana Menteri baharu ini.
“Ini kali pertama Sultan dari negeri sama dengan Perdana Menteri yang dilantik. Sudah pasti rakyat menunggu gandingan unik ini,” katanya.