21 OGOS: Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa menggesa semua pihak berhenti membuat ‘ugutan’ kepada kerajaan selepas Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilantik sebagai perdana menteri baharu.
Beliau percaya dengan pelantikan itu barisan kepimpinan Jemaah Menteri di bawah kepimpinan Muhyiddin Yassin tidak akan mengalami perubahan ketara dan akan diisi dalam kalangan 114 Ahli Parlimen yang menyokong.
“Saya tak fikir wujud kerajaan baharu yang semua sekali tukar (barisan kabinet). Nak dilantik di kalangan 114 ini juga,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri melancarkan ‘flag off’ perjalanan Sukarelawan Rumah Prihatin untuk penyampaian bantuan kepada mangsa-mangsa banjir di Merbuk dan Jerai.
Annuar yang juga bekas menteri Wilayah Persekutuan bagaimanapun menegaskan kuasa memilih barisan Jemaah Menteri di bawah pimpinan Ismail merupakan kuasa mutlak perdana menteri dan ia tidak boleh diganggu.
“Kuasa perdana menteri jangan usik, kita jangan beri sebarang tekanan, kena hormati sistem dimana pembentukan jemaah menteri adalah satu hak mutlak perdana menteri,” katanya.
Annuar berkata,semua wakil rakyat patut malu kepada rakyat disaat mereka susah pemimpin berebut kuasa dan melakukan cubaan menjatuhkan kerajaan.
“Kita sudah lalui beberapa kali bertukar kerajaan, cukuplah kena malu kepada rakyat, malu kepada diri sendiri. Jangan guna mandat rakyat untuk tujuan salah, rakyat sedang memerhati,” katanya.
Ditanya soal nama kerajaan baharu di bawah kepimpinan Ismail, Annuar berkata ia bukanlah isu besar sebaliknya yang penting kesepakatan antara parti Barisan Nasional, Pakatan Nasional, Gabungan Parti Sarawak, Parti Bersatu Sabah, dan beberapa yang lain dalam mentadbir negara.