21 OGOS: Selepas hampir seminggu negara menghadapi kemelut kepemimpinan politik, Malaysia hari ini bakal menyaksikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri ke-9.
Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan sebagai Perdana Menteri di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, dijadual diadakan di Istana Negara pada 2.30 petang ini.
Majlis berkenaan akan disiarkan secara langsung menerusi stesen televisyen tempatan.
Terdahulu, Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan beliau dan barisan Kabinetnya telah meletak jawatan secara rasmi pada Isnin susulan dirinya telah hilang sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.
Selepas Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa menerima surat tersebut, Seri Paduka Baginda berkenaan agar Muhyiddin menjalankan tugas sebagai ‘caretaker’ sehingga Perdana Menteri baharu dilantik.
Seri Paduka Baginda mengambil pelbagai pendekatan bagi memastikan proses sokongan majoriti terhadap Ahli Parlimen adalah solid selain perlu diusulkan Undi Percaya kepada Perdana Menteri ke-9 agar perkara yang sama tidak berulang kembali sehingga menyebabkan kebajikan rakyat terjejas.
Menerusi kenyataan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun, semua Ahli Parlimen perlu menghantar surat akaun menyatakan dengan terang dan jelas seorang Ahli Dewan Rakyat yang diberikan kepercayaan untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia Yang Ke-9 dan perlu dihantar pada Rabu lalu.
Selepas itu, seramai 114 Ahli Parlimen mewakili Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta ahli Parlimen bebas dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, kelmarin.
Sesi menghadap itu bertujuan mengesahkan surat akuan sokongan mereka kepada calon Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Ahli Parlimen Bera merangkap Naib Presiden UMNO.
Semalam, Al-Sultan Abdullah berkenan berangkat menghadiri dan mempengerusikan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara mengambil kira pandangan Raja-Raja Melayu dalam pelantikan Ahli Parlimen Bera itu sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9.
Hasil pertemuan khas itu, Seri Paduka Baginda akhirnya berkenan melantik Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri Kesembilan (PM-9).
Dengan pelantikan ini, Datuk Seri Ismail Sabri merupakan pemimpin ketiga dari negeri Pahang yang menjadi Perdana Menteri Malaysia selepas Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein dan Datuk Seri Najib Tun Razak.