21 OGOS: Kesemua laluan sekitar ibu kota yang dilencongkan berikutan Sekretariat Solidariti Rakyat dikatakan akan mengadakan perhimpunan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, hari ini sudah dibuka semula.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim memaklumkan situasi di sekitar ibu kota sejak jam 9 pagi hingga 3 petang tadi dalam keadaan terkawal tanpa insiden tidak diingini.
“Tiada insiden tidak diingini berlaku. Keadaan terkawal dan semua laluan yang dilencongkan tadi sudah dibuka semula kecuali sekatan (pagar besi) di sekitar Dataran Merdeka yang masih ditutup,” katanya kepada media, hari ini.
Perhimpunan yang dirancang sekretariat yang terdiri aktivis muda tersebut mendapati ia tidak berlangsung seperti didakwa.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, kesemua 88 laluan berkenaan yang dilencongkan sejak jam 9 pagi tadi dibuka semula kepada pengguna jalan raya bermula 2.50 petang.
Selain laluan terbabit, perkhidmatan tren Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT) di beberapa laluan dan Monorel Kuala Lumpur yang ditutup sementara bermula pukul 9 pagi tadi juga beroperasi semula sejak pukul 3 petang.