21 OGOS: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menerima kunjungan Perdana Menteri kesembilan (PM-9), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di kediamannya di Bukit Damansara, Kuala Lumpur, hari ini.
Detik pertemuan itu dikongsikan sendiri Perdana Menteri Kelapan (PM-8) menerusi Facebook rasminya yang turut merakamkan penghargaan kepada Naib Presiden UMNO itu atas pelantikannya sebagai Perdana Menteri baharu.
“Saya memberi sokongan penuh kepada beliau dan insya-Allah akan terus membantu Kerajaan PN menyampaikan khidmat yang terbaik kepada rakyat, khususnya dalam tempoh pemulihan negara.
“Saya mendoakan semoga Ismail Sabri akan dapat menggalas amanah kepimpinan dengan sebaik mungkin dan mengemudi negara ke mercu kejayaan,” katanya.
Menerusi hantaran sama, Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) turut berkongsikan gambar pertemuan beliau bersama Ahli Parlimen Bera itu di kediaman beliau.
Ismail Sabri hari ini mengangkat sumpah jawatan sebagai PM-9 di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri itu berlangsung di Balai Singgahsana Kecil, Istana Negara di Kuala Lumpur pada jam 2.30 petang tadi.
Al-Sultan Abdullah memberi perkenan pelantikan itu selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.
Muhyiddin pula telah dilantik sebagai Perdana Menteri caretaker setelah meletakkan jawatan sebagai PM-8 pada 16 Ogos lalu.