21 OGOS: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pemimpin parti politik termasuk daripada blok Bebas yang memilihnya sebagai Perdana Menteri kesembilan (PM-9).
Perdana Menteri turut mengucapkan syukur atas perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, melantiknya ke jawatan tertinggi dalam kerajaan.
“Saya bersyukur kepada Allah dan atas izin-Nya, saya dilantik sebagai perdana menteri.
“Ucapan terima kasih juga saya ucapkan kepada rakan ahli Parlimen termasuk Bebas dan ketua parti politik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di luar pekarangan kediamannya di Petaling Jaya selepas selesai menghadiri istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat serta Menandatangani Sumpah Jawatan sebagai Perdana Menteri, hari ini.
Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera turut merakamkan penghargaan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu atas kepercayaan diberikan kepadanya.
Beliau memaklumkan akan membuat kenyataan rasmi susulan pelantikan sebagai Perdana Menteri khusus bagi semua lapisan rakyat di negara ini, esok.
Terdahulu, Ismail Sabri mengangkat sumpah jawatan sebagai PM-9 di hadapan Al-Sultan Abdullah di Istana Negara pada jam 2.30 petang tadi.
Beliau menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meletak jawatan selepas kehilangan sokongan majoriti daripada Ahli Parlimen pada 16 Ogos lalu