22 OGOS: Jabatan Imigresen membongkar satu sindiket penyeludupan migran rentas sempadan yang dipercayai didalangi seorang bekas penjawat awam susulan penahanan 18 pendatang tanpa izin (PATI) warga Indonesia di Tanjung Sedeli, Kota Tinggi, Johor, semalam.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud, berkata perkara terbongkat dalam Ops Seludup yang dijalankan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Jabatan Imigresen, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Beliau berkata dalam operasi berkenaan pihak berkuasa turut menahan dua tekong iaitu bekas penjawat awam berusia 33 tahun dan lelaki warga Indonesia berusia 35 tahun.
Katanya, ketika operasi semua migran itu sedang dibawa menggunakan tiga kenderaan masing-masing dipandu dua tekong berkenaan, manakala seorang lagi berjaya melarikan diri.
“Anggota kita menerima maklumat sekumpulan migran yang diseludup dijangka mendarat di Pantai Tanjung Lompat, antara jam 3 hingga 5 pagi.
“Pasukan yang digerakkan ini berjaya memintas kenderaan yang membawa migran berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Mengulas lanjut, Khairul Dzaimee berkata, pihaknya turut menyita tiga kenderaan yang digunakan untuk membawa migran dianggarkan bernilai RM130,000.
“Siasatan awal mendapati, sindiket ini dipercayai bergerak aktif sejak pelaksanaan perintah kawalan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).
“Modus operandi mereka menjalin kerjasama dengan tekong laut yang menyeludup migran dari negara jiran dan mendarat di pantai sekitar Johor. Tekong darat akan menyediakan pengangkutan untuk mengangkut migran, sebelum diagihkan kepada majikan.
“Caj yang dikenakan sindiket ini bagi setiap migran diseludup masuk ke negara ini antara RM800 hingga RM1,500 seorang,” katanya.
Beliau berkata, semua migran yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki negara ini tanpa dokumen sah.
“Dua tekong itu pula disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 bagi kesalahan menyeludup migran,” katanya.