22 OGOS: Kerajaan yakin Malaysia akan mencapai kadar imuniti kelompok dengan 80 peratus populasi penduduk dewasa di negara ini divaksiansikan lebih awal daripada sasaran awal pada Oktober 2021.
Berikutan itu, Perdana Menteri, hari ini mengumumkan kerajaan akan membuat pembelian 6 juta dos vaksin COVID-19 lagi yang akan diterima menjelang awal September 2021, sebagai satu berita baik kepada semua rakyat Malaysia bersempena Bulan Kemerdekaan ini.
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata beliau juga akan memastikan setiap intervensi dan usaha pihak kerajaan untuk menurunkan kes COVID-19 dilakukan secara lebih komprehensif melalui kerjasama strategik dengan penglibatan pemegang taruh, agensi kerajaan dan pihak swasta.
Katanya, usaha berterusan kerajaan sebelum ini, kadar pencapaian vaksinasi di Malaysia merupakan antara yang terpantas di seluruh dunia dan konsisten memberi kadar vaksinasi yang tinggi melebihi 500 ribu dos sehari.
“Berdasarkan data tersebut, maka kerajaan ini akan meneruskan usaha yang dilaksanakan sebelumnya agar segera kita beralih ke fasa pemulihan melalui sasaran imuniti kelompok.
“Demi mencapai sasaran tersebut lebih awal, kerajaan ini akan memastikan inisiatif dan strategi dalam meningkatkan liputan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang sedang berlangsung semakin diperhebat,.
“Untuk itu, saya berterima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang telah pun memberikan kerjasama penuh dalam pengambilan vaksin,” katanya dalam ucapan pertamanya hari ini.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata keupayaan memerangi pandemik secara berkesan memerlukan komitmen daripada semua Keluarga Malaysia.
“Bagi mereka yang masih belum mendaftar, rayulah ahli keluarga kita untuk segera berbuat demikian. Dengan itu, kita dapat membantu dan menghargai pengorbanan frontliners yang masih bertungkus-lumus bagi memastikan seluruh rakyat dapat segera menjalani kehidupan dalam norma baharu.
“Oleh sebab itu, kita optimis melalui kejayaan program vaksinasi ini kelak, ramai yang boleh kembali menziarahi ibu bapa di kampung halaman, meraikan perayaan dan melancong dalam negara.
“Anak muda boleh beriadah, pulang semula ke institusi pengajian tinggi, dan yang paling utama ialah anak-anak kita boleh kembali ke sekolah,” katanya.
Perdana Menteri berkata gambaran berkaitan bukanlah satu angan-angan kosong kerana negara pernah berjaya menurunkan statistik pesakit COVID-19.
“Ini kerana fakta terkini pada Jumaat, 20 Ogos 2021 membuktikan keberkesanan strategi lalu apabila statistik kes harian Wilayah Persekutuan Labuan yang sudah mencapai 90 peratus imuniti kelompok dewasa, telah menurun secara konsisten kepada satu digit selama tujuh hari berturut-turut.
“Ini bukanlah bermakna kita akan bebas sepenuhnya daripada ancaman COVID-19. Tetapi apabila kita mencapai imuniti kelompok, virus ini tidak lagi menjadi ancaman seperti mana yang ditakuti sekarang.
“Sehubungan itu, demi memangkin pencapaian seperti di Labuan, suka saya umumkan pembelian tambahan sejumlah 6 juta dos vaksin lagi yang akan diterima menjelang awal September 2021, sebagai satu berita baik kepada semua bersempena Bulan Kemerdekaan ini,” katanya.
Beliau berkata krisis pandemik telah memberikan kesan yang sangat serius dan menyeluruh kepada ekonomi dunia, termasuk ekonomi domestik negara ini.
“Pelbagai sektor industri, terutamanya perniagaan kecil dan sederhana, sangat terkesan. Ada yang masih bergelut dan ada yang gulung tikar. Ini memberikan impak yang besar kepada ekonomi rakyat serta negara,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI