22 OGOS: Kerajaan baharu pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, akan memberikan fokus kepada usaha mengurangkan kesan jangka panjang penularan pandemik COVID-19 kepada kehidupan rakyat dan ekonomi negara, pada masa depan.
Perdana Menteri berkata bagi tujuan mengurangkan kesan ekonomi yang berpanjangan, kerajaan pimpinannya akan menumpukan usaha ke arah mencapai dua objektif utama.
Beliau berkata objektif pertama adalah untuk, mengembalikan kesejahteraan rakyat seiring dengan usaha meningkatkan kuasa beli pengguna, manakala keduanya, mengangkat semula sektor swasta sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi negara.
“Sehubungan itu, fokus usaha kita ialah rakyat yang kehilangan pekerjaan dan mata pencarian, rakyat yang berpendapatan sederhana, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), serta sektor perindustrian termasuk industri pelancongan domestik.
“Fokus ini merupakan sebahagian daripada inisiatif jangka pendek untuk mengembalikan ekonomi rakyat khususnya dan menjana ekonomi negara secara menyeluruh,” katanya dalam ucapan sulungnya sebagai Perdana Menteri disiarkan secara langsung menerusi Facebooknya dan stesen televisyen utama negara sebentar.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri juga memberikan komitmen untuk memastikan tiada mana-mana rakyat Malaysia, tanpa mengira agama, bangsa, dan kaum yang tercicir atau terpinggir.
“Usaha kita tidak akan terhenti setakat ini. Kita akan terus bekerja bersama rakyat untuk membangunkan strategi baharu ekonomi bagi melaksanakan beberapa perubahan mendasar.
“Seluruhnya bertujuan memperkukuh asas ekonomi negara dan mengembalikan daya saing Malaysia sebagai destinasi pelaburan utama di rantau Asia Tenggara,” katanya.
Beliau berkata seiring dengan usaha mencapai objektif dan fokus tersebut, penglibatan anak muda amat diperlukan dengan memastikan suara anak muda didengari dan diberikan tumpuan dalam kerajaan ini.
“Kepada anak muda di luar sana, jangan risau, penglibatan anda semua amat dihargai dan saya mengharapkan anda bersama dengan kerajaan ini untuk menjayakan agenda besar pemulihan negara,” katanya
Dalam pada itu, Ismail Sabri menjelaskan pergolakkan politik berlaku di Malaysia selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) sehingga menyebabkan dua kali peralihan kuasa dan pertukaran Perdana Menteri adalah suatu kerugian besar kepada negara ini.
“Menyorot kembali tempoh sepenggal selepas PRU-14, dengan hanya berbaki 21 bulan sebelum PRU-15, negara telah melalui dua peralihan kerajaan dan dua Perdana Menteri. Sebenarnya, peralihan tersebut dalam tempoh sepenggal adalah landskap politik yang merugikan rakyat dan negara.
“Marilah kita bergerak ke hadapan. Kita leraikan segala perebutan kuasa politik. Kita bersama-sama berjuang sebagai sebuah keluarga besar yang merangkumi penjawat awam, pekerja swasta dan yang bekerja sendiri – dalam memperbaik, merawat dan memulihkan semula tanah air ini,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI