23 OGOS: Menjadi tanggungjawab semua pihak sebagai rakyat Malaysia bagi menyokong penuh konsep ‘Keluarga Malaysia’ yang dikemukakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Naib Presiden PAS, Senator Idris Ahmad berkata, ini kerana perkara tersebut bertepatan dengan konsep persaudaraan dalam Islam.
Menurut beliau, konsep ‘Keluarga Malaysia’ hendaklah menjunjung nilai integriti di mana usaha bersatu padu umpama satu keluarga amat diperlukan.
“Ini bagi membentuk negara yang stabil berteraskan Perlembagaan Persekutuan sekali gus mampu keluar daripada krisis kesihatan, ekonomi dan politik yang melanda pada fasa pandemik COVID-19 ini.
“PAS menegaskan bahawa kestabilan negara dan kebersamaan tindakan adalah amat penting. Maka, suasana kemelut politik yang merugikan rakyat dan negara mesti dihentikan segera,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri semalam memperkenalkan pendekatan ‘Keluarga Malaysia’ bagi mengajak semua pihak termasuk Ahli Parlimen pembangkang untuk bersama-sama memulihkan ekonomi dan menangani masalah penularan pandemik COVID-19 secara menyeluruh.
Berikutan itu, Ismail Sabri yang memulakan tugasnya secara rasmi sebagai Perdana Menteri semalam, menyeru kepada seluruh Ahli Dewan Rakyat, sama ada dalam atau luar kerajaan supaya menggembleng tenaga untuk memulihkan semula keadaan negara.
Beliau berkata semua ahli Parlimen perlu fikiran terbuka dan berlapang dada yang menerima, mencungkil persamaan dengan tidak lagi menggali perbezaan untuk menyelamatkan Keluarga Malaysia.
Perdana Menteri turut mengajak pemimpin pembangkang membuka lebaran baharu hubungan rentas parti dengan menganggotai Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas (JKK) Menangani COVID-19 yang akan ditubuhkan kerajaan nanti.
Justeru itu, Idris memaklumkan PAS menyambut baik keterbukaan kerajaan melibatkan pemimpin pembangkang bagi menganggotai Majlis Pemulihan Negara dan Jawatankuasa Khas Menangani COVID-19 agar bersama-sama melawan wabak sehingga berjaya.
“Dalam pada itu, PAS berharap program-program kebajikan rakyat dan pakej-pakej rangsangan ekonomi diteruskan kerana rakyat masih terkesan dengan keadaan ekonomi dalam suasana mencabar akibat COVID-19. Islam Memperkukuh Perpaduan,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH