23 OGOS: Keputusan bagi penglibatan pemimpin ahli Parlimen PAS dalam kabinet baharu di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan dibuat secara rundingan terlebih dahulu.
Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man memaklumkan, tindakan tersebut selari dengan kedudukan parti berkenaan sebagai sebahagian daripada parti komponen kerajaan.
“Pas akan berunding terlebih dahulu dalam pembentukan kabinet.
“Ini kerana kita adalah sebahagian daripada kepimpinan negara dalam komponen kerajaan yang wujud hari ini,” katanya kepada media, hari ini.
Terdahulu, Ismail Sabri mengesahkan akan mengumumkan senarai barisan anggota kabinet baharunya, pada minggu ini.
Perdana Menteri berkata, senarai nama anggota Jemaah Menteri baharu berkenaan akan diumumkan selepas ia dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, dalam tempoh terdekat.
Beliau berkata ketika ini perbincangan mengenai pembentukan Kabinet baharu sedang berjalan sebelum senarainya dipersembahkan kepada Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Justeru, Ismail Sabri menjelaskan bahawa kerjasama antara kerajaan pimpinannya dengan pembangkang tidak semestinya mereka perlu berada dalam Kabinet atau melalui pembentukan kerajaan perpaduan.