23 OGOS : Pendekatan ‘Keluarga Malaysia’ yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob disifatkan Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, sebagai satu pendekatan yang tepat ketika negara berdepan dengan krisis politik dan pandemik COVID-19.
Beliau berkata, pendekatan Keluarga Malaysia adalah sejajar dengan tuntutan kebersamaan semua pihak menghadapi situasi semasa negara dalam menghadapi krisis.
“Pengenalan dan pendekatan baharu Keluarga Malaysia memang penting untuk seluruh rakyat terus maju dan bergerak ke hadapan sebagai sebuah keluarga merentasi sempadan agama, bangsa dan kaum demi membangun negara.
“Keluarga Malaysia menuntut muafakat dan semangat solidariti semua pihak untuk saling berganding bahu menangani situasi mencabar yang dihadapi negara ketika ini.
“Ikatan dan nilai kekeluargaan ini amat penting ketika kita berhadapan dengan suasana getir untuk menjayakan agenda utama pemulihan negara,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Ismail Sabri semalam dalam ucapan sulungnya memperkenalkan pendekatan ‘Keluarga Malaysia’ dalam usaha mengajak semua pihak termasuk Ahli Parlimen pembangkang untuk bersama-sama memulihkan ekonomi dan menangani penularan pandemik COVID-19 secara menyeluruh.
Dalam pada itu, Bung Moktar yang juga Ketua UMNO Sabah berkata, komitmen kerajaan Pusat pimpinan Ismail Sabri dalam menjaga kesihatan rakyat terbukti menerusi pembelian tambahan sejumlah enam juta dos vaksin yang turut memberi manfaat kepada Sabah.
Beliau melontarkan ucapan terima kasih kepada kerajaan dalam usaha memperhebatkan inisiatif dan strategi meningkatkan liputan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) .
“Kita yakin melalui melalui program ini pandemik COVID-19 dapat dilandaikan dan ekonomi dapat dipulihkan segera,” ujarnya.
Kerajaan negeri juga menurut Bung Moktar, akan terus mendokong kesungguhan Perdana Menteri dalam usaha menjayakan agenda Keluarga Malaysia ketika negara sedang menangani isu kesihatan dan ekonomi roktarakyat negeri ini yang terjejas dengan penularan pandemik COVID-19.
“Seperti saya maklumkan sebelum ini kita akan pertahankan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), selari dengan mandat yang diberikan oleh rakyat selepas pilihan raya tahun lalu bagi menjaga kestabilan politik, ekonomi dan kesihatan rakyat,” katanya.