23 OGOS: Sultan Kelantan Sultan Muhammad V menzahirkan rasa dukacita dengan tindakan pihak tertentu yang menyebarkan berita negatif di platform media sosial sehingga membantutkan usaha kerajaan mengawal penularan wabak COVID-19.
Pada pengamatan baginda, pemberian suntikan vaksin adalah kaedah yang tepat dengan masa untuk langkah pencegahan bagi melindungi masyarakat daripada COVID-19 yang terus mengancam kehidupan.
“Hentikanlah gerakan yang boleh mendatangkan banyak konflik, yang boleh menambahkan kesulitan dan kesusahan kehidupan.
“Apa juga polemik dan konflik yang tercetus akan menjejaskan penumpuan kepada penyelesaian masalah pandemik dan perkembangan ekonomi, sosial, keagamaan dan lain-lain dalam masyarakat,” titah baginda.
Justeru, Sultan Muhammad V bertitah sebagai langkah segera, kerajaan Kelantan telah membelanjakan RM33.52 juta pada 2020 dan RM18.77 juta pada 2021 bagi membantu rakyat yang terjejas akibat penutupan aktiviti ekonomi sepanjang tempoh pandemik COVID-19.
“Ini, adalah tindakan yang tepat seperti sumbangan Pakej Rangsangan Ekonomi, Bantuan Keperluan Asas Setiap DUN, Inisiatif Tunai Penjaja dan Peniaga Kecil, Bantuan Usahawan Kelantan dan pelbagai lagi inisiatif yang telah memberikan manfaat secara terus kepada rakyat,” titah baginda.
Baginda juga menzahirkan penghargaan kepada semua petugas barisan hadapan dalam memberi perkhidmatan terbaik bagi memastikan wabak COVID-19 di negeri ini sentiasa dalam keadaan terkawal.
“Terima kasih juga kepada semua jabatan dan agensi negeri dan persekutuan serta badan bukan kerajaan yang menyalurkan bantuan bagi meringankan beban rakyat yang sememangnya terkesan dengan pandemik COVID-19,” titah baginda.
Baginda juga menzahirkan rasa sukacita dan merakamkan ucapan tahniah kepada kerajaan yang berjaya mewujudkan Pusat Pengumpulan Produk Usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) sebagai medium untuk usahawan memasarkan produk. Selain itu, baginda menghargai inisiatif kerajaan memperkenalkan Skim Cakna Hawa, Cakna Suri dan Jejak Amal Covid-19 yang diberikan kepada masyarakat.