24 JAN : Barisan Kabinet yang akan dibentuk di bawah pentadbiran kerajaan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu memberikan khidmat mereka kepada rakyat dengan serta-merta.
Justeru, Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC), Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, Perdana Menteri perlu diberikan peluang dan ruang seluasnya untuk menentukan Kabinet yang akan dibentuk bagi mentadbir negara.
Beliau menjelaskan saiz barisan Kabinet kerajaan kali ini tidak penting, sebaliknya keberkesanan mereka yang dipilih nanti dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab mereka sebagai Menteri.
“Rakyat sekarang memerlukan pelbagai bantuan seperti bantuan vaksin COVID-19 dan bantuan kehidupan, maka saya rasa Perdana Menteri mungkin tertekan sikit membuat pertimbangan (untuk mewujudkan kabinet).
“Namun, beliau kena bersedia untuk memantapkan kerajaan serta merta. Rakyat pun tak mahu tengok perkara ini berlaku sekali lagi kerana tak seronok tengok percaturan berlaku.
“Bagi rakyat, mereka nak kerajaan bantu mereka dengan pemberian vaksin COVID-19 dan bantuan lain, itu yang mereka mahukan,” katanya pada sidang media selepas meninjau Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) di Pusat Khidmat Kubang Gajah, Arau, hari ini.
Dalam pada itu, Shahidan yang juga merupakan Ahli Parlimen Arau memaklumkan, walaupun ada pihak yang mahukan Ahli Parlimen dari Perlis dilantik ke dalam Kabinet kerajaan selepas ini, beliau tidak mahu perkara itu terlalu diutamakan.
“Biar Datuk Seri Ismail Sabri memilih sendiri dalam mewujudkan barisan Kabinet yang kuat dan mampu berkhidmat kepada rakyat.
“Apa yang penting, kali ini ia menjadi satu Kabinet yang kuat dan mampu berkhidmat untuk rakyat dan pilihlah mereka yang berpengalaman serta mampu membuat kerja,” katanya.
Dalam masa sama, beliau turut berharap Menteri Pendidikan yang dilantik nanti dapat membuat perancangan teliti dalam membuka semula sesi persekolahan.
“Ini kerana ditakuti sekiranya murid tidak ke sekolah dalam tempoh lama, ia akan memberi kesan kepada psikologi,” katanya.