24 OGOS: Bekas jaguh badminton perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei, boleh dikenakan tindakan undang-undang jika beliau gagal melaporkan sebarang cubaan sogokan atau rasuah membabit dirinya.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim, menegaskan Chong Wei sepatutnya melaporkan cubaan seorang pegawai sukan dari Malaysia yang mahu menyogok legenda badminton Indonesia, Taufik Hidayat tewas kepada Chong Wei pada aksi separuh akhir Sukan Asia 2006 kepada SPRM.
“Kegagalan melaporkan cubaan merasuah adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 25(1) dan (2) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda tidak lebih dari RM 100,000 jika sabit kesalahan.
“Seksyen 17 (1), Akta Pencegahan Rasuah 1997 juga memperuntukan kesalahan dan hukuman yang sama kepada kes yang berlaku sebelum tahun 2009,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini Taufik dalam satu wawancara bersama wartawan Indonesia yang dimuat naik di saluran YouTube, TransTV, mendedahkan beliau ditawarkan dua kali ganda daripada bayaran 200 juta rupiah (RM60,000) yang dijanjikan kerajaan Indonesia jika beliau memberi kemenangan kepada Chong Wei dalam perlawanan berkenaan sehingga jaguh badminton kebangsaan itu berjaya memenangi emas pada temasya berkenaan.
Berikutan itu, Jais menggesa SPRM membuka kertas siasatan berhubung dakwaan bekas pemain kebangsaan Indonesia bahawa terdapat seorang pegawai sukan dari Malaysia menawarkan sogokan kepadanya supaya beliau kalah kepada Chong Wei dalam perlawanan semi final badminton lelaki di Sukan Asia 2006.
Jais menegaskan masalah rasuah dalam bidang sukan bukanlah baru di Malaysia dan ianya sudah menular sejak sekian lama dan jika dibiarkan berlarutan boleh merosakkan masyarakat dan meruntuhkan negara.
“Industri sukan negara boleh terencat sekiranya masalah itu tidak dibanteras sepenuhnya. Rasuah dalam sukan bukan hanya berkaitan dengan perolehan dana persatuan dan menggunakan jawatan untuk mendapat suapan, malah mengatur keputusan perlawanan, penyalahgunaan kuasa serta proses dalam membuat sesuatu keputusan juga ditakrifkan sebagai rasuah.
“SPRM telah mendefinisikan suapan terdiri daripada wang, hadiah, bonus, undi, perkhidmatan, jawatan, upah mahupun pemberian diskaun,” katanya.
Dalam pada itu, Jais berkata MCW berpendapat bahawa isu rasuah dalam sukan di Malaysia masih berada pada tahap terkawal.
“Tindakan segera pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam mengambil langkah pembudayaan, pencegahan dan penguatkuasaan dari masa ke semasa adalah penting untuk memastikan ia tidak menjadi ‘barah’ kepada pembangunan sukan negara.
“Pastikan semua badan sukan kebangsaan bebas daripada budaya tidak sihat itu dan sebarkan semangat bebas rasuah kepada semua ahli sukan.
“Trend gejala rasuah dalam sukan di Malaysia biasanya melibatkan aktiviti mengatur perlawanan yang melibatkan kejohanan ternama, hadiah besar dan pertaruhan sama ada secara sah atau pun tidak,” katanya.
Jais berkata beliau difahamkan banyak kes rasuah dalam sukan tidak dilaporkan atas pelbagai sebab.
“Kegagalan melaporkan kes ini tidak boleh dimaafkan kerana implikasinya cukup besar. Program kesedaran dan Pendidikan anti rasuah kepada atlet dan badan sukan perlu diperbanyakkan. MCW sedia menawarkan diri dan dilibatkan sama dalam program ini,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI