24 OGOS: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, mencadangkan supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri, hanya mewujudkan Kabinet bersaiz kecil dianggotai mereka yang benar-benar berkebolehan dan cekap dalam pentadbiran.
Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, pemilihan anggota Kabinet sepatutnya dibuat dengan penilaian teliti dan mengambil kira kebolehan serta kecekapan bekerja.
“Saya harap (Kabinet yang akan dibentuk Perdana Menteri baharu) saiznya tak berapa besar, tak macam Kabinet sebelum ini.
“Untuk menjadi menteri, sepatutnya kena ada kebolehan, tidak seperti sesetengah menteri dalam Kabinet terdahulu, tak kerja apa pun.
“(Mereka) Tidak buat kerja dan cuma dapat gaji sahaja. Janganlah jadi macam itu… (pilih) yang ada kebolehan,” katanya pada sidang media di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Langkawi, Kedah, hari ini.
Media semalam memetik Ismail Sabri sebagai berkata senarai nama barisan Kabinet baharu dijangka diumumkan minggu ini selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Mengulas lanjut, Dr Mahathir juga mengingatkan Ismail Sabri supaya tidak memperlihatkan kepada umum bahawa tawaran jawatan menteri kepada kepada Ahli Parlimen sebagai sogokan untuk meraih sokongan.
Mengulas mengenai jawatan Timbalan Perdana Menteri, beliau berkata, Ismail Sabri perlu menutup pintu serapatnya kepada pemimpin yang mempunyai kes mahkamah dan ahli politik yang ada sejarah lompat parti untuk menjadi Perdana Menteri.