24 OGOS: Polis masih menunggu laporan penuh bedah siasat daripada pakar patologi mengenai kes empat anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terkorban dalam insiden tembakan di kem TUDM, Kota Samarahan, pada 13 Ogos lalu.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail berkata pihaknya juga menghantar sampel barang kes merangkumi asid deoksiribonukleik (DNA), senjata api serta kelongsong peluru untuk dianalisa oleh Jabatan Kimia dan Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Polis juga sudah menghantar telefon bimbit milik mangsa ke Jabatan Kimia dan Forensik PDRM untuk analisa bagi mengenal pasti punca dan motif kejadian itu yang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan ringkas hari ini.
Pada 13 Ogos lalu, media melaporkan empat anggota TUDM maut dalam satu kejadian tembakan di Balai Pengawal Handau Skuandron 330, Kota Samarahan, Sarawak.
Empat anggota yang terkorban dalam insiden berkenaan ialah Kpl Udara Sharif Mohd Siddiq Al-Attas Wan Sabli, Kpl Udara Mohamad Ehsan Sehamat, Kpl Udara Ho Swee Boon dan Laskar Udara Nesly Anak Nabau.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail yang mengesahkan kes itu berkata, kejadian berlaku jam 7.50 pagi di Balai Pengawal Handau Skuadron 330 TUDM.
“Difahamkan kejadian itu berlaku ketika masa serah tugas. Salah seorang anggota TUDM dipercayai menembak tiga rakannya sebelum menembak diri sendiri,” katanya dalam kenyataan, pada hari berkenaan.