24 OGOS: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berdepan cabaran getir bagi memimpin negara ketika ini berikutan keadaan semasa yang kritikal dan mencabar disebabkan pandemik COVID-19.
Pengerusi Pengasas Forum Perniagaan Global Malaysia (MGBF), Nordin Abdullah berkata, tugas pertama Ismail Sabri ialah menubuhkan Kabinet, suatu tugas yang sebelum ini dibuat dalam keadaan seperti `berbulan madu’ oleh pemimpin negara sebelum ini.
Bagaimanapun, menurut beliau, keadaan itu tidak lagi wujud kerana pandemik COVID-19 menyebabkan setiap keputusan yang dibuat adalah kritikal dan hanya sedikit kesilapan boleh dibuat.
“Kemelut politik yang berpanjangan juga menjejaskan tumpuan terhadap dua perkara penting yang perlu segera ditangani, iaitu pandemik COVID-19 dan kemerosotan ekonomi.
“Namun, saya melihat keadaan sekarang mewujudkan peluang untuk menggunakan pendekatan bertenang bagi membolehkan hanya mereka yang terbaik dipilih untuk menyelesaikan pelbagai masalah sekarang,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Dalam pada itu, Nordin memaklumkan pihaknya berpandangan bahawa perlu ada konsep tanggungjawab bersama bagi membolehkan kejayaan kerja berpasukan bagi menangani pelbagai cabaran semasa.
Menurut beliau, antara masalah utama ialah pengangguran dan isu kesihatan mental yang memberi kesan negatif terhadap keyakinan perniagaan dan produktiviti individu dalam ekosistem perniagaan.
“Kami tidak bermaksud untuk menasihat Perdana Menteri, tetapi dengan horrmat membuat cadangan supaya keputusan penting dibuat berdasarkan amalan terbaik antarabangsa. Ini memerlukan maklumat diperolehi dari sumber sebenar demi kebaikan majoriti rakyat.
“Ini mungkin sukar tetapi adalah cara terbaik demi pemulihan ekonomi pantas yang komuniti perniagaan hasratkan. Ini juga peluang untuk membawa gaya kepemimpinan unik kepada kedudukan Perdana Menteri sebagai jawatan paling sukar di negara ini,” katanya.