25 OGOS : Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Sumber Manusia, Sains, Teknologi dan Inovasi, Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) negeri, Rozieana Ahmad mendedahkan terdapat 26 guru sekolah di Perlis yang enggan menerima suntikan vaksin.
Menurutnya, daripada 4,710 guru di seluruh Perlis, 4,504 daripadanya sudah melengkapkan dos vaksin COVID-19 manakala baki 206 belum lagi mengambil sebarang dos vaksin.
“Daripada jumlah itu, seramai 91 orang guru pada awalnya enggan menerima vaksin namun setelah berbincang, 65 daripada guru tersebut bersetuju untuk menerima suntikan vaksin.
“Bagaimanapun seramai 26 orang guru lagi masih belum bersedia untuk menerima suntikan vaksin,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Mesyuarat Pertama, Penggal Persidangan Keempat, Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis Yang ke-14 di Kompleks DUN, hari ini.
Sehubungan itu kata Rozieana, proses kaunseling masih dijalankan terhadap guru terbabit dalam usaha bagi meyakinkan mereka untuk menerima vaksin.
Tambahnya, guru tersebut tidak menolak seratus peratus pemberian vaksin namun antara alasan yang diberikan adalah kerana masalah kesihatan.
“Kita akan mendapatkan nasihat doktor dan akan diberikan kaunseling bagi mereka yang mempunyai masalah kesihatan,” katanya.
“Kita merayu kepada kumpulan guru berkenaan supaya berfikir secara rasional demi keselamatan murid apabila pembelajaran secara bersemuka bermula kembali.
“Kerjasama daripada guru ini amat diharapkan kerana jika mereka tidak mahu divaksin, sukarlah sekolah hendak dibuka dan ini mendedahkan mereka kepada risiko jangkitan COVID-19,” jelasnya.