25 OGOS: Ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memberikan jaminan bahawa Pakatan Harapan (PH) tidak akan menimbulkan kesulitan kepada Perdana Menteri Datuk Ismail Sabri Yaakob apabila undi percaya dibentangkan di Parlimen tidak lama lagi.
Ahli Parlimen Port Dickson itu menegaskan PH sedia berbuat demikian sekiranya pihak kerajaan terbuka membincangkan masalah rakyat dan pihak kerajaan dan pembangkang saling terbuka bekerjasama menyelesaikan isu rakyat.
“Kita beritahu kalau suasana begini dan program agak prorakyat kita tak akan persulitkan (usul undi percaya,”katanya kepada pemberita selepas lebih sejam mengadakan pertempuan dengan Ismail di Perdana Putra di Putrajaya hari ini.
Anwar berkata demikian ketika ditanya sama ada PH akan menyokong Ismail jika undi percaya dibawa di Parlimen nanti.
Mengulas lanjut, Anwar menegaskan pertemuan pemimpin PH dengan Perdana Menteri hari ini tidak menyentuh soal pelantikan wakil parti pembangkang dalam Kabinet bakal diumumkan Ismail Sabri dalam masa terdekat.
Isu berkenaan (wakil pembangkang dalam Kabinet) tidak berbangkit, saya tidak mahu ia dijadikan isu, kita tak datang untuk meminta jawatan untuk kita, kita bincang khusus soal ekonomi dan COVID-19,” katanya.
Berikutan itu Anwar berkata beliau akan mengadakan mesyuarat dengan pemimpin pembangkang lain bagi membincangkan isu sokongan kepada Perdana Menteri dan kedudukan negara supaya ia lebih terkawal dan tenang.
Beliau juga menjelaskan mereka juga tidak membincangkan isu pembabitan wakil pembangkang dalam Majlis Pemulihan Negara (MPN) dalam pertemuan hari ini.
Anwar menjelaskan keterbukaaan Perdana Menteri bertemu ketua parti dalam PH juga satu permulaan baik terutamanya dalam membincangkan soal COVID-19 dengan lebih berkesan dan isu ekonomi rakyat.
“Jadi untuk mententeramkan dan mengurangkan suhu politik itu kita setuju, tapi kita berikan cadangan supaya isu prorakyat diberi keutamaan. Kalau program prorakyat, program tangani COVID-19 lebih berkesan, tidak ada masalah untuk kita jamin keadaan lebih terjawal.
“Saya juga ucap terima kasih, dia Ismail Sabri ini wakil UMNO dan dia ajak bincang dengan Anwar dan DAP, saya gurau dengan dia bukan ke ‘no Anwar, no DAP, tapi ini sudah nampak berubah, dia kata kerana semangat titah Agong untuk kerjasama semua pihak,” katanya.