25 OGOS : Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijangka akan mengadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah esok.
Ismail Sabri dipercayai menghadap Agong untuk mengemukakan senarai calon bagi jawatan menter di dalam Kabinet baharunya.
“Ada pertemuan Perdana Menteri menghadap Yang di-Pertuan Agong pagi esok. Jam 11 pagi,” kata sumber ketika memaklumkan perkara tersebut hari ini.
Difahamkan pertemuan itu akan diadakan di Kuantan, Pahang.
Dalam pada itu, senarai menteri Kabinet baharu pula dijangka akan diumumkan Ismail Sabri pada Jumaat ini.
Terdahulu, Perdana Menteri, mengesahkan akan mengumumkan senarai barisan anggota Kabinet baharunya, pada minggu ini.
Ismail Sabri berkata senarai nama anggota Jemaah Menteri baharu berkenaan akan diumumkan selepas ia dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, dalam tempoh terdekat.