25 OGOS: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan kes positif harian COVID-19 di Malaysia kini kembali meningkat dengan 22,642 kes dilaporkan hari ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata semua negeri mencatatkan pertambahan kes menjadikan jumlah keseluruhan kes COVID-19 meningkat kepada 1,616,244 kes.
Katanya, Selangor kekal menjadi negeri mencatatkan jumlah kes tertinggi melaporkan pertambahan kes dengan 6,325 kes baharu diikuti Sabah (3,224) dan Kedah (2,279).
“Selain itu Johor merekodkan 1,832 kes, Sarawak (1,667), Pulau Pinang (1,427), Kelantan (1,424), Perak (1,390) dan Kuala Lumpur (1,128).
“Turut melaporkan pertambahan ialah Terengganu dengan 744 kes, Pahang (522), Melaka (342), Negeri Sembilan (268), Perlis (44), Putrajaya (21) dan Labuan (empat),” katanya menerusi Facebook hari ini.
Semalam, KKM mengesan 20,837 kes positif COVID-19 termasuk 22 kes import (12 warganegara, 10 bukan warganegara); dan 20,815 kes tempatan (17,440 warganegara (83.8%); 3,375 bukan warganegara (16.2%).